Bantuan 113 Pek Makanan Dan Pakaian Program Kechara

Bantuan 113 pek makanan dan pakaian Program Kechara Food Bank ceriakan 517 Orang Asli etnik Bateq Taman Negara Kuala Tahan.

JERANTUT 18 Nov. - Orang Asli etnik Bateq Taman Negara merupakan antara penduduk minoriti yang cukup terkesan apabila pandemik Covid-19 mengancam keseluruhan tempat di negara ini.

Akibat pandemik tersebut, Taman Negara Kuala Tahan sudah dua kali ditutup sementara berikutan pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac - 15 Jun lalu manakala PKP Bersyarat di beberapa negeri (kecuali Pahang) cukup memberi impak kehidupan etnik tersebut.

Kebanyakan Orang Asli Bateq di penempatan pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Keniam juga penyumbang pembangunan sektor ekopelancongan dengan terbabit sebagai pemandu alam sekitar (guide nature) dan bot penambang, 'porter' malahan yang tinggal di penempatan sering mengadakan demonstrasi 'survival' hutan dan menjual kraf tangan kepada pengunjung untuk memperoleh wang.

Fenomena ancaman pandemik Covid-19 telah mengubah landskap kehidupan Orang Asli Bateq apabila mereka kehilangan pendapatan dan segelintir daripada keluarga tersebut yang mewariskan kemiskinan relatif berpindah masuk ke hutan untuk menyelamatkan diri dan mencari sumber makanan.

Bagaimanapun mujurlah ada kalangan insan di luar yang tergetus nilai kemanusiaan dan prihatin melihat 'kesengsaraan' etnik tersebut bergelut membina kehidupan selagi pandemik COVID-19 masih belum berpenghujung.

Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu kesusahan Orang Asli di taman hutan tropika itu sejak PKP yang menyaksikan sehingga kini tidak putus-putus bekalan keperluan dapur dihantar ketujuh buah perkampungan di pesisir Sungai Tembeling.

Antara NGO berkenaan, iaitu Kechara Soup Kitchen Malaysia (KSK), Kuala Lumpur menerusi Program Kechara Food Bank telah menjelajah ke penempatan Orang Asli di Kampung Atok, Kampung Yong, Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Dedari, Kampung Aur dan Kampung Cangkung.