Seekor Gajah Betina Berjaya Dijinakkan Dan Ditangkap Oleh

Seekor gajah betina berjaya dijinakkan dan ditangkap oleh UTG Perhilitan negeri di Kampung Chebong, Jerantut

JERANTUT 28 Okt. - Kebimbangan penduduk Kampung Chebong dan Kampung Selimbar, mukim Tembeling Tengah daerah ini sedikit reda apabila tertangkapnya seekor gajah liar di Kampung Chebong, Jerantut pada 22 Oktober 2020 lalu.

Pejabat Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan penduduk berterima kasih atas usaha Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang berjaya menangkap haiwan liar itu yang 'merayau' serta menceroboh di kebun sawit dua kampung tersebut sejak 2 Oktober 2020.

PahangStory pernah melaporkan kejadian pencerobohan kawanan gajah liar di Kampung Selimbar pada 3 Oktober 2020 lalu kira-kira pukul 2 pagi membabitkan kemusnahan tanaman sawit dan getah milik penduduk di situ.

Jabatan Perhilitan Semenanjung menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook menyebut seekor gajah betina berjaya ditangkap oleh kakitangan Unit Tindakan Gajah (UTG) Perhilitan Pahang dalam satu operasi di Kampung Chebong, Tembeling Tengah dekat sini pada pada 22 Oktober 2020 lalu.

"Operasi tangkapan dilakukan setelah menerima aduan berkaitan kehadiran seekor gajah yang memakan pokok kelapa bersebelahan rumah pengadu. Operasi tangkapan ini melibatkan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan Negeri Pahang.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati kaki belakang kiri gajah tersebut bengkak. Operasi diteruskan kerana terdapat seekor lagi gajah jantan dan seekor anak gajah berkeliaran di lokasi tangkapan," katanya menerusi laman sosial Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung semalam.

Sementara itu, sumber laporan BERNAMA pada 27 Oktober 2020 dipetik sebagai berkata, khidmat dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah digunakan bagi memindahkan gajah betina liar dari Kampung Chebong, Jerantut dekat Jerantut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara negeri, (Perhilitan) Rozidan Md Yasin berkata, gajah itu dipercayai mula mengganggu ladang kelapa sawit di kampung tersebut sejak pertengahan bulan ini sebelum berjaya ditangkap pada Khamis lalu dengan menggunakan kaedah tembakan pelali.

"Sepanjang lima hari ditangkap, gajah itu berada dalam keadaan baik cuma didapati mengalami sedikit kecederaan pada bahagian kaki kiri belakang yang didapati bengkak.

"Operasi memindahkan gajah liar itu bermula pada 9 pagi dengan kerja menembak ubat pelali sebelum Abot dan Rambai dibawa masuk ke kawasan operasi kira-kira 15 minit kemudian untuk ‘memujuk’ gajah itu menaiki lori," katanya semasa dihubungi BERNAMA pada 27 Oktober 2020.

Pengerusi JKKK Chebong/Selimbar, Syed Alloidin Syed Hasan berkata, penduduk berterima kasih kepada Perhilitan negeri dengan usaha memantau kehadiran gajah liar itu sebelum ini sehinggalah berjaya menangkapnya pada hari Khamis minggu lepas (22 Oktober)

"Walau bagaimanapun, penduduk di sini masih berada dalam 'kebimbangan' kerana dua ekor lagi haiwan liar ini dipercayai gajah jantan dan seekor anak masih berada di kawasan hutan berdekatan kampung ini dan menimbulkan kerisauan penduduk ketika keluar bekerja di kebun sawit dan pertanian.

"Apapun, saya berharap pihak Perhilitan dapat memastikan gajah liar ini sudah tidak berada di kawasan hutan berdekatan kampung ini sebelum meneruskan operasi tangkapan," katanya ketika dihubungi PahangStory hari ini.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, pejabat penghulu mukim itu berterima kasih kepada Perhilitan yang berusaha bersungguh menangkap gajah liar itu yang sejak awal bulan ini berkeliaran di kedua buah kampung tersebut.

"Beberapa buah kampung di pesisir Sungai Tembeling di mukim Tembeling Tengah yang menjadi sasaran pencerobohan gajah liar dengan merosakkan tanaman sawit dan pertanian penduduk yang dilaporkan berlaku sejak tahun lalu.

"Saya berharap penduduk berwaspada dengan fenomena pencerobohan gajah liar ini dan segera melaporkan kepada pejabat penghulu dan Perhilitan supaya tindakan berupa langkah keselamatan dapat ditangani dengan segera," katanya.

OLEH: Haris Fadilah Ahmad
#PahangStory