View Di Gua Kota Gelanggi Terletak Kira-kira 25

View di Gua Kota Gelanggi Terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Jerantut, gua legenda mempunyai sejarah tersendiri. Gua di sini dikenali dengan nama Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Jin dan Kota Balai.

Gua Kota Gelanggi sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai, malah terdapat pelbagai bentuk batu yang menyerupai manusia bersanding, ular dan singa. Kejadian itu dikaitkan dengan sumpahan Sang Kelembai iaitu makhluk yang mempunyai kuasa sakti yang menyumpah sesuatu menjadi batu.
Mengikut kajian Muzium Negara pada tahun 1981, terdapat bukti bahawa barang yang dijumpai adalah tinggalan manusia zaman purba.

Terdapat pengkaji sejarah mengatakan gua ini dulunya sebuah negeri yang besar dan dipercayai tempat persembunyian Maharaja Dewa Sura ketika diburu angkatan Melaka pada abad ke-15.

Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan Tok Gajah juga dikatakan pernah berlindung dan bertapa di gua ini. Asal usul nama Gelanggi berasal daripada perkataan Siam iaitu Klang Kio atau Gelang Gio.

Kisah legenda menceritakan kawasan ini diperintah Raja Gelanggi yang mempunyai seorang puteri yang cantik. Anak Raja Mambang dari Lipis melamar puteri itu , namun anak Raja Usul dari Bera bertemu puteri berkenaan ketika berburu, lalu jatuh cinta dan setuju untuk berkahwin.

Perkara itu diketahui anak Raja Mambang lalu menyerang anak Raja Usul. Anak Raja Mambang mati dibunuh oleh anak Raja Usul lalu anak Raja Usul berkahwin dengan Puteri Gelangi.